
SIAPA yang tidak menanti dan menyambut dengan penuh kegembiraan saat-saat untuk bersara. Inilah masa dan ketika yang dinanti-nantikan. Apa jua hobi atau keinginan melakukan sesuatu kini boleh dilakukan yang sebelum ini terpaksa dipendam dan ditunda dek kekangan masa dan kesibukan tugas.
Dalam pada itu, mungkin ramai juga antara kita yang tidak terfikir untuk merancang persaraan kerana mereka beranggapan simpanan daripada Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) mencukupi untuk menampung hidup pada hari tua.
Malangnya, ia tidak sebegitu. Persaraan yang dilalui tanpa melengkapkan diri dengan persediaan yang sewajarnya boleh merumitkan kehidupan, lantas membuatkan ada segelintir yang terpaksa bergantung harap kepada anak dewasa.
Perancangan persaraan membabitkan beberapa langkah mudah yang boleh anda lakukan sendiri dan ia termasuklah menentukan berapa banyak yang anda perlukan sewaktu persaraan, berapa banyak yang anda miliki sekarang serta apa yang boleh anda lakukan untuk membetulkan keadaan.
Jawapan ini memerlukan pemikiran dan perancangan yang bersungguh-sungguh memandangkan jumlah wang yang anda perlukan ketika persaraan mempunyai hubung kait dengan gaya hidup yang anda inginkan.
Misalnya, andai kata, anda merancang untuk berpindah ke sebuah rumah yang lebih kecil di sebuah kawasan pinggir bandar, justeru kos hidup mungkin lebih rendah berbanding tinggal di sebuah rumah besar di kawasan bandar.
Sebaliknya, anda mungkin memerlukan wang lebih jika merancang untuk memulakan satu hobi yang mahal atau ingin melancong mengelilingi dunia. Sebelum memenuhi hajat itu, anda harus lihat perbelanjaan semasa dan menganggarkan bagaimana ia mungkin berubah ketika persaraan.
Umpamanya, anda boleh mengurangkan kos pengangkutan dan perbelanjaan hiburan, tetapi anda mungkin perlu meningkatkan perbelanjaan perubatan kerana kemungkinan untuk anda jatuh sakit meningkat dengan peningkatan usia.
Secara alternatif, anda boleh membuat andaian bahawa anda hanya memerlukan 70 peratus hingga 80 peratus daripada perbelanjaan semasa sewaktu persaraan.
Misalannya, katakan gaji terakhir anda ialah RM66,000 setahun. Anda hanya memerlukan kira-kira RM52,800 daripada pendapatan tahunan setelah bersara (80 peratus x RM66,000). Jawapannya ada kaitan langsung dengan jangkaan hayat anda.
Perangkaan bulan Disember 2007 Jabatan Perangkaan mencatatkan purata jangka hayat bagi lelaki ialah 72 tahun dan 76 tahun bagi wanita. Bagaimanapun, jika anda sekarang menikmati kualiti hidup yang tinggi dan kesihatan yang bagus, anda boleh lanjut usia sehingga 80 tahun.
Jadi, jika anda bersara pada usia 56, anda memerlukan sekurang-kurangnya 24 tahun pendapatan persaraan.
Ancaman paling besar dalam memenuhi keperluan kewangan semasa persaraan adalah inflasi. Inflasi ialah peningkatan kos hidup yang diterjemahkan sebagai peratus kenaikan harga berbanding tahun sebelumnya.
Anda mungkin tidak memberi tumpuan terhadap inflasi ketika anda bekerja kerana pendapatan anda cenderung meningkat seiring dengannya. Bagaimanapun, apabila anda berhenti bekerja, pendapatan anda lebih kurang tetap dan ini membuatkan inflasi muncul sebagai masalah besar.
Bagi rancangan persaraan, anda dinasihatkan memilih pelaburan jangka panjang seperti saham, bon dan mutual funds memandangkan pelaburan jenis ini menghasilkan pulangan yang tinggi berbanding bentuk pelaburan lain umpamanya faedah daripada akaun simpanan atau deposit tetap.
Melabur dalam saham memberikan anda status pemilik dalam sesebuah syarikat yang anda melabur. Jika syarikat itu berjaya, anda seharusnya boleh menjana wang dengan menjual balik saham itu. Anda juga mungkin boleh meraih keuntungan daripada dividen yang dikeluarkan oleh syarikat itu secara tetap.
Bon pula sebenarnya adalah pinjaman kepada perniagaan dan kerajaan yang dipegang untuk sesuatu masa. Lazimnya ia lebih selamat untuk melabur dalam bon dan sesetengahnya disokong oleh kerajaan.
Mutual funds adalah wang yang ditabung bersama oleh pelabur. Wang itu kemudian dilaburkan dalam beberapa syarikat, yang dengan demikian ia dapat meminimumkan risiko. Melalui kepelbagaian ini, kerugian sesebuah syarikat boleh diserap oleh keuntungan syarikat lain.
Nyata sekali, anda perlu memikirkan satu perancangan kewangan yang lengkap untuk persaraan anda dengan mengambil kira aset, hutang, perbelanjaan, tabungan, matlamat kewangan anda.
Seandainya anda buntu untuk melakukannya, usah risau. Dapatkan bantuan perancang kewangan yang berkelayakan. Tetapi, jika anda memilih untuk melakukan sendiri, sebuah perisian kewangan yang ada di pasaran boleh membantu anda.
Dengan perisian itu, anda boleh melihat graf malah pelbagai saranan mengenai jenis pelaburan boleh anda pertimbangkan.
Malah lebih menarik, anda boleh mencuba butiran yang ada untuk mengetahui sejauh manakah kukuhnya kewangan anda berada dalam keadaan berbeza.
Pokok pangkalnya, lagi awal anda merancang persaraan anda, lagi cerah masa depan persaraan anda. – Bernama

No comments:
Post a Comment